Kronologi
Amirul Najwan bin Mohd. Najmen lahir pada 23 Jun 2003 di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras Kuala Lumpur. Beliau lahir sebagai bayi normal seberat 2.91kg, cukup sifat dan membesar seperti kanak-kanak normal yang lain. Beliau telah memulakan persekolahan di Tadika PASTI Taman Permata Kuala Lumpur pada usia 5 tahun dan sentiasa menjadi antara kanak-kanak yang fast learner dan aktif bersukan di peringkat sekolah-sekolah tadika di Gombak.
Pada tahun 2009, beliau meneruskan tadika 6 tahun di PASTI yang sama dan telah mewakili PASTI Ummu Aiman Taman Permata di pertandingan bola sepak antara PASTI-PASTI zon Gombak. Pada tarikh perlawanan tersebut, beliau tidak dapat hadir ke sekolah disebabkan demam panas. Saya sebagai ibunya telah membawa beliau mendapatkan rawatan di klinik berdekatan. Setelah doktor memberi ubat dan antibiotik pada petang tersebut (1 April 2009), keadaannya makin sembuh dan beliau tidur dengan nyenyak sehingga jam 11 malam pada hari yang sama suhu badan beliau telah naik mendadak, keadaan beliau teruk dengan muntah-muntah, menggigil dan ada sedikit pendarahan keluar dari hidung. Saya terus membawa beliau ke Hospital Besar Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan kecemasan. Beliau telah ditahan di wad pediatrik HKL pada malam tersebut dengan suhu 400C. Setelah mendapatkan rawatan suhu beliau turun sehingga 38.70C. Beliau tidur seperti biasa di dalam wad tersebut. Pada 2 April 2009, beliau bangun pagi dengan agak ceria, berborak-borak dengan saya dan ayahnya. Saya meminta izin untuk balik ke rumah sementara ayahnya menjaga beliau di wad. Sekembalinya saya ke wad dan ayahnya pulang ke rumah saya lihat beliau tidur dengan nyenyak. Saya tunggu sehingga dia bangun pada jam 10.30 pagi. Apabila beliau bangun, suhu beliau naik mendadak lagi, termuntah dan doktor tidak dapat membantu apa-apa kerana dalam masa beberapa minit sahaja Amirul sudah terkulai, meracau-racau dan keliru. Beliau ditempatkan di wad acubate (pemerhatian) dan keadaan beliau semakin teruk sehingga malam tersebut beliau telah koma (tidak sedarkan diri) dan di tempatkan di Wad ICU di Insititut Pediatrik, HKL.
Hasil daripada ujian CT Scan doktor mendapati ada berlaku pembengkakan dalam selaput otak dan beliau telah diberi bantuan pernafasan (ventilator) untuk menyelamatkan nyawa beliau. Rawatan antibiotik telah diberi tetapi tidak memberi tindakbalas yang baik kepadanya. Pada 3 April 2009, melalui ujian imbasan MRI doktor telah mendapati otak beliau dijangkiti Virus yang tidak dapat dikenalpasti dan jangkitan itu terlalu serius melibatkan seluruh otak beliau, brain stem (tunjang otak) yang melumpuhkan sistem saraf beliau dari leher ke bawah. Doktor meramalkan harapan beliau untuk hidup sebanyak 30% dengan komplikasi yang teruk sekiranya hidup. Beliau koma selama 24 hari dan separa koma selama 3 bulan.
Bermulalah episod baru dalam hidup Amirul Najwan bin Mohd. Najmen kerana mulai 3 April 2009 beliau di sahkan mengidap Acute Necrotising Encephalitis In Childhood (ANEC) yang jarang berlaku di negara ini. Keadaan beliau cukup kronik dengan berlaku kekejangan, kadangkala sawan dan jangkitan paru-paru yang teruk sehingga doktor mengambil keputusan untuk melakukan pernafasan secara bypass iaitu trakeostomy (tebuk tekak untuk laluan pernafasan) bermula 24 April 2009. Amirul ditempatkan di wad Neurology sehingga September 2009 dan saya telah mengambil cuti separuh gaji selama beberapa bulan untuk memberi tumpuan kepadanya.
Amirul kemudian dibenarkan membawa pulang ke rumah dengan syarat beliau ditempatkan bilik khas yang sejuk (perlu aircond), bersih tanpa habuk dan mesin suction untuk menyedut kahak dari trakee beliau. Saya dengan sedaya upaya berikhtiar untuk upgrade biliknya untuk keperluan beliau. Kemudian atas nasihat dari klinik rehabilitasi (REHAB), HKL beliau perlukan satu kerusi roda khas yang untuk meneruskan kelangsungan hidupnya. Di atas wheel chair itulah amirul melepaskan lenguh-lenguh seharian akibat terlantar sepanjang masa
Pada tahun 2010, Amirul keluar masuk wad di HKL sebanyak 20 kali disebabkan oleh masalah pneumonia dan pendarahan dalam perut (Coffee Ground). Kini saya bangga kerana amirul masih lagi bersama saya, masih mampu menyedut udara segar pagi dan saya dapat bermain-main dengannnya setiap hari. Apabila pulang ke rumah hilang rasa penat bila dia mampu tersenyum untuk saya..senyuman yang tak akan hilang darinya sampai bila-bila. Ya Allah kuatkan imanku, teguhkan hati ku panjangkan umur amirul ya rabbi.
Semoga terus tabah..sedihnya baca.Ujian Allah untuk insan2 terpilih..
ReplyDeleteSemoga terus tabah..sedihnya baca.Ujian Allah untuk insan2 terpilih..
ReplyDelete